RM2.5b untuk fasa ketiga projek PDT


RM2.5b untuk fasa ketiga projek PDT
7 April 2018
Source: Sinar Harian (Johor)

Johor Bahru: Nilai keseluruhan RM14.5 bilion, projek bermula tahun ini.

Fasa ketiga projek Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) di Kota Tinggi bakal bermula tahun ini dengan nilai pelaburan RM2.5bilion.

Pembangunan projek itu dilaksanakan Dialog Group Berhad dan menjadikan nilai keseluruhan bagi ketiga-tiga fasa berjumlah RM14.5 bilion.

Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, fasa ketiga membabitkan projek menambak laut serta penambahan loji simpanan minyak yang dijangka siap dalam tempohlima tahun.

“Pembangunan fasa ketiga sebagai sambungan dari fasa satu dan dua yang mana nilai projek untuk fasa ketiga adalah RM2.5bilion. 

“Kerajaan negeri alu-alukan pelaburan ini kerana ia tanda kejayaan perancangan dan keputusan kerajaan pusat dan negeri serta pihak swasta yang mempunyai visi yang jauh untuk menjadikan kawasan Pengerang ini sebagai Terminal Simpanan Minyak LautDalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Dialog Group Berhad dan kerajaan negeri di Hotel DoubleTree,disini, kelmarin.

Memorandum persefahaman itu ditandatangani Pengerusi Eksekutif Group Dialog Berhad, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat yang mewakili Group Dialog Berhad dan kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata, dalam pelaburan kali ini, kerajaan negeri menjadi pemegang saham sebanyak 20 peratus bagi pembangunan ketiga.

“Untuk fasa ketiga, kita ada pegangan ekuiti sebanyak 20 peratus daripada nilai pelaburan yang mana sebelum ini kerajaan negeri mempunyai pegangan sebanyak 10 peratus pada fasa pertama dan fasa kedua,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan projek ini juga akan memantapkan kedudukan Pengerang lebih-lebih lagi dengan adanya pelaburan daripada Aramco dan siapnya Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

“Ia juga akan mengukuh dan mempelbagaikan ekonomi Johor. Atas sebab itu juga,kerajaan negeri amat mengalu-alukan pelaburan ini,” katanya.

Sementara itu, Boon Keat yakin untuk meneruskan fasa ketiga projek itu dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri.