Orang ramai dijemput sertai kejohanan golf 28 April depan


29 Jan 2019

Source: Utusan Sarawak

 

KUCHING: Jawatankuasa projek 'Sarawak Charity Golf 2019 For Rural Kids Education Fund' yang bakal mengadakan kejohanan golf pada 28 April depan masih mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan swasta dan persendirian.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil sumbangan ini nanti akan disalurkan untuk tabung pendidikan kanak-kanak luar bandar melalui pertubuhan kebajikan MyKasih.

"Setakat ini kutipan sumbangan sudah mencecah RM600,000 dan tahun ini, jawatankuasa menyasarkan untuk menerima sumbangan sehingga RM1 juta.

"Justeru, kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak-pihak swasta dan persendirian supaya sasaran ini dapat dicapai," katanya.

Uggah yang juga patron projek kebajikan ini berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada jawatankuasa projek yang diadakan di Kelab Golf Sarawak semalam.

Katanya, pada tahun 2017, jawatankuasa projek berjaya mengutip sebanyak RM1.025 juta hasil sumbangan daripada 62 buah badan swasta dan orang persendirian.

"Sumbangan ini kemudiannya dimanfaatkan kepada 1,041 orang murid dari 16 buah sekolah rendah di luar bandar yang terjejas teruk akibat banjir pada tahun tersebut.

"Sumbangan ini juga yang diuruskan oleh Pertubuhan MyKasih menerima respons positif daripada pihak sekolah, justeru pihak jawatankuasa membuat keputusan untuk meneruskan lagi projek ini pada tahun ini," ujarnya.

Semalam, empat buah badan swasta telah menyampaikan sumbangan antaranya ialah Sarawak Energy, Dialog Group, dan Press Metal yang masing-masing menyumbang RM100,000 dan O&M Materials Sarawak yang menyumbang RM50,000.

Hadir sama di majlis semalam ialah pengerusi jawatankuasa projek Dato Wee Yiaw Hin.