Operasi Dialog Group tidak terjejas oleh insiden kebakaran di Pengerang


14 April 2019

Source: Utusan Borneo Sabah

 

KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran dan letupan di tapak Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang, Johor, awal kelmarin tidak menjejaskan operasi Dialog Group Bhd.

Syarikat itu berkata insiden di RAPID, yang berdekatan dengan Terminal Laut Dalam Pengerang, tidak memberi kesan kepada pekerja, operasi dan kedudukan kewangan kumpulan itu.

"Pihak pengurusan akan terus menilai dan memantau aset dan kemudahan kami untuk memastikan keadaan kerja yang selamat untuk pekerja kami," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Dalam insiden kebakaran dan letupan, yang berlaku pada kira-kira 1.20 pagi itu, dua warga tempatan cedera dan dipercayai lebih 10 rumah rosak di Kampung Lepau, berhampiran Pengerang. — Bernama