Saham dialog meningkat 3.36 peratus


03 July 2019

Source: Utusan Sarawak

 

KUALA LUMPUR: Saham-saham Dialog Group Bhd meningkat 3.36 peratus pada sesi pagi selepas anak syarikatnya, Dialog Plant Services Sdn Bhd, menandatangani perjanjian perkhidmatan induk daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), pada Isnin.

Pada 10.22 pagi, saham Dialog meningkat 11 sen kepada RM3.38 dengan 3.08 juta saham didagangkan.

Dalam notanya semalam, Public Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘mengatasi pasaran’ ke atas penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu itu, dengan harga sasaran pada RM3.74.

“Kami positif ke atas perkembangan ini kerana ia akan mengukuhkan lagi perniagaan pendapatan berulang Dialog,” katanya.

Walaupun nilai perjanjian tidak disebut dalam kenyataan akhbar itu, Public Investmen Bank menjangkakan skopnya agak besar memandangkan ia turut meliputi kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Sementara itu, cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd, Kenanga Research, ‘neutral’ ke atas berita itu dan mengekalkan harga sasaran RM3.80, memandangkan perjanjian perkhidmatan induk itu hanya melayakkan Dialog untuk menerima projek penyelenggaran di daratan daripada kumpulan Petronas.

“Dialog masih perlu membida dan mengubah kontrak menjadi perintah kerja sebelum ia direalisasi sebagai pendapatan,” katanya.

Pada Isnin, Dialog mengumumkan Dialog Plant Services memperoleh kelulusan Perjanjian Perkhidmatan Induk Kumpulan (MSA) bagi Penyelenggaraan dan Pemulihan Bersepadu Mekanikal (TA4MS) daripada Petronas.

Berdasarkan kenyataan itu, syarikat itu berkata kontrak tersebut meliputi kerja-kerja pemulihan loji bersepadu dan kerja penyelenggaraan harian statik mekanik untuk kumpulan Petronas.

Kontrak ini sah selama lima tahun dengan opsyen dilanjutkan oleh Petronas. - Bernama