Saham Dialog naik berikutan prospek pertumbuhan harga saham meningkat


17 February 2019

Source: Utusan Borneo Sarawak

 

Saham Dialog naik berikutan prospek pertumbuhan harga saham meningkat

KUALA LUMPUR: Saham Dialog Group Bhd antara kaunter paling untung kelmarin selepas firma penyelidikan mengunjurkan prospek harga saham syarikat itu meningkat.

Pada jam 11.25 pagi, saham Dialog naik 22 sen kepada RM3.21 dengan 304,100 saham bertukar tangan.

Firma penyelidikan yakin mengenai prospek saham Dialog dengan mengunjurkan pertumbuhan dua angka ke atas harga saham syarikat itu.

RHB Research Institute mengunjurkan saham Dialog meningkat sebanyak 38 peratus, disokong oleh portfolio pelbagai syarikat mengenai sumber pendapatan berulang dan pertumbuhan pendapatan tertentu dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ini akan didorong oleh peningkatan kapasiti terminal tangki di Pengerang, Johor," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata syarikat itu juga merupakan pilihan utama dalam liputan sektor minyak dan gas di Malaysia, satu-satunya saham berkaitan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang bermodal besar dengan proksi langsung kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Projek RAPID yang bernilai berbilion ringgit itu bakal melonjakkan Pengerang, yang terletak di pantai timur Johor kepada hab pengeluaran dan perdagangan produk hiliran bertaraf dunia di ASEAN.

Public Investment Bank dalam nota lain mengunjurkan pulangan sebanyak 24.7 peratus ke atas harga saham Dialog dengan pembangunan projek Terminal Laut Dalam Pengerang(PDT). —Bernama